Thursday 29 December 2011

apa ada pada wuduk?


“wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas keci), maka (berwuduklah)- iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”
(surah al-Maidah 5:6)

Takrif wuduk
Kalimah wuduk adalah berasal daripada perkataan ‘al-wadha’ah’ yang membawa maksud elok dan berseri. Manakala dari aspek syarak pula bermaksud perbuatan menggunakan (meratakan) air pada anggota-anggota tertentu dengan disertakan niat.

Hukum wuduk sebelum solat
Amalan wuduk mempunyai kedudukan yang tinggi dan menjadi syarat dalm ibadah solat. Dengan kata lain, jika seseorang itu tidak berwuduk sebelum menunaikan solat, maka solatnya adalah dikira tidak sah menurut pandangan syarak. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim: “Allah tidak akan menerima solat seseorang daripada kamu yang berhada sehinggalah dia berwuduk.”

Rukun wuduk
Menurut ulama’ mazhab Syafi’I, rukun-rukun wuduk adalah seperti berikut:
         i.           Niat
       ii.            Membasuh muka
      iii.            Membasuh kedua-dua belah tangan hingga ke siku
     iv.            Menyapu sebahagian kepala walaupun sehelai rambut selagi mana rambut itu berada dikawasan kepala
       v.            Membasuh dua belah kaki hingga buku lali
     vi.            Tertib mengikut turutan rukun seperti yang dinyatakan diatas

Perkara yang membatalkan wuduk
Wuduk akan terbatal disebabkan 5 perkara:
         i.            Keluar sesuatu daripada qubul ataupun dubur.
       ii.            Tidur dalam keadaan tidak tetap punggung nya.
      iii.            Hilang akal
     iv.            Seorang lelaki menyentuh isterinya ataupun perempuan ajnabiah tanpa berlapik.
       v.            Menyentuh kemaluan sendiri ataupun orang lain samaada qubul ataupun dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Mengapa kita perlu berwuduk dengan sempurna?
Ilmu berkaitan tatacara berwuduk adalah amat penting untuk kita fahami sebagai usaha memastikan wduk kita benar-benar menepati fiqah selain menjulang tinggi falsafahnya. Tidak terhenti sekadar itu, sebenarnya Allah telah menyediakan tawaran luar  biasa bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh dan berusaha berwuduk dengan cara yang peling sempurna. Allah telah menjanjikan keampunan dosa kepada orang yang berwuduk dengan sempurna. Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah hadis Nabi s.a.w.:
“sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik, dosa-dosanya keluar daripada badannya sehingga keluar dari bawah jari-jarinya.”
Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita menyempurnakan wuduk dengan sebaik mungkin. Perkara rukun dibuat sehabis baik, begitu juga perkara sunat. Mudah-mudahan Allah menerima amalan tersebut. Moga hari ini lebih baik dari semalam! Ayuh teman-teman kita sempurnakan wuduk!

No comments:

Post a Comment