Tuesday 27 December 2011

menguatkan diri dengan malu..


Malu selalunya menjadi kalungan mutiara yang menghiasi diri kaum hawa. Sifat malu boleh menguatkan diri kita sebagai seorang mukmin. Sifat malu adalah perasaan yang dapat membenteng seorang mukmin lelaki ataupun wanita daripada melakukan perkara yang dapat menghancurkan dan memusnahkan maruah diri dan agamanya. Malu juga merupakan gambaran akhlak terpuji seorang mukmin sejati. Seorang mukmin yang memiliki perasaan malu membuktikan yang dia memiliki hati dan jiwa yang murni, sentiasa menjaga maruah diri dan tidak sanggup melakukan perkara yang dilarang oleh agama.
Oleh itu, malu adalah perisai mukmin. Malu juga merupakan salah satu cabang daripada cabang-cabang iman. Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah r.a.: “sekiranya seorang lelaki itu memiliki sifat malu nescaya dia seorang lelaki yang soleh, dan sekiranya seorang lelaki itu memiliki sifat keji nescaya dia seorang yang jahat.” Begitu jualah hadith ini ditujukan kepada wanita mukminah.

Info al-Quran.
“kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: “sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami.” Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: “janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu.”
-surah al-Qasas: ayat 25-

Info hadith
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “sesungguhnya setiap bagi agama itu adalah akhlak, dan akhlak islam ialah malu.”
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. lagi yang bermaksud: “ sekiranya kamu tidak berasa malu, maka buatlah apa yang kamu inginkan.”

Kupasan
Mari kita renungkan ayat ke 25 surah al-Qasas ini. Ayat ini menceritakan perihal dua orang puteri Nabi Syuib keluar bekerja dengan memberi minum binatang ternak dan al-Quran menggambarkan salah seorang puteri Nabi Syuib yang memelihara maruah diri dengan berbekalkan sifat malu memohon bantuan kepada kaum lelaki iaitu Nabi Musa.
Anak Nabi Syuib keluar bekerja dengan memelihara batas-batas agama dan menjadikan malu sebagai perisai dan benteng keimanannya. Dia dikatakan bercakap dengan Nabi Musa sambil menutup mukanya dengan baju atau tangannya.
Hadith Rasulullah pula menggambarkan kepentingan sifat malu kepada umat islam kerana sifat malu merupakan akhlak seorang Muslim. Hadith kedua merupakan amaran keras kepada Muslim kerana tanpa sifat malu mereka akan terjebak dengan dosa. Ini kerana malu kepada Allah adalah benteng daripada melakukan maksiat.

Terdapat beberapa positif dan negative daripada sifat malu:-

Positif
*      Sifat malu adalah perisai mukmin daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah.
*      Malu adalah akhlak al-Quran yang terpuji.
*      Memiliki sifat malu adalah bukti mukmin yang luhur imannya dan suci jiwanya.

Negatif
*      Tanpa sifat malu iman seseorang akan rosak.
*      Tanpa malu seseorang akan jauh daripada Allah.
*      Hidup seseorang akan berada dalam kehinaan.

No comments:

Post a Comment